1. Apakah yang dimaksudkan dengan perkhidmatan pembayaran Zakat Pelaburan?
Perkhidmatan pembayaran Zakat Pelaburan adalah inisiatif AIIMAN Asset Management Sdn Bhd (“AIIMAN”) untuk membantu para pelabur mengira dan membayar zakat ke atas Pelaburan mereka (yang dibuka dengan AIIMAN sahaja) kepada Lembaga Zakat Selangor (“LZS”). Manakala, bagi pelaburan yang dibuka dengan institusi pengurusan dana dan/atau institusi kewangan lain adalah menjadi tanggungjawab para pelabur sendiri untuk melunaskan kewajipan Zakat Pelaburan ke atas harta tersebut.
 
2. Bagaimanakah cara mendaftar/melanggan perkhidmatan pembayaran Zakat Pelaburan ini?
Para pelabur perlu mengisi borang perkhidmatan pembayaran Zakat Pelaburan yang disediakan oleh AIIMAN.
 
3. Perlukah borang perkhidmatan pembayaran Zakat Pelaburan diisi setiap tahun?
Tidak. Pelabur hanya perlu mengisi borang perkhidmatan pembayaran Zakat Pelaburan sekali sahaja sehingga Pelabur memaklumkan AIIMAN untuk menamatkan perkhidmatan pembayaran Zakat Pelaburan tersebut.
 
4. Adakah Pelabur dikenakan fi bagi perkhidmatan pembayaran Zakat Pelaburan?
Tidak, Perkhidmatan pembayaran Zakat Pelaburan adalah percuma.
 
5. Apakah jenis pelaburan yang di ambil kira untuk pembayaran Zakat Pelaburan?
Zakat Pelaburan hanya tertakluk kepada akaun pelaburan individu persendirian di dalam mana-mana Dana-Dana Patuh Shariah Affin Hwang Asset Management Berhad (“Affin Hwang AM”) & AIIMAN yang dibuka di bawah pelan tunai dengan AIIMAN sahaja.
 
Pelabur perlu bertanggungjawab untuk melunaskan sendiri kewajipan zakat terhadap akaun pelaburan bersama.
 
Akaun pelaburan yang dibuka melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (“KWSP”) atau di bawah Skim Persaraan Swasta (“PRS”) adalah dikecualikan daripada pembayaran Zakat.
 
6. Bolehkan mana-mana pelabur individu menggabungkan akaun pelaburan patuh Shariah yang dibuka dengan Affin Hwang AM dan AIIMAN bagi tujuan pembayaran Zakat Pelaburan?
Pelabur individu tidak boleh menggabungkan akaun pelaburan patuh shariah yang dibuka dengan Affin Hwang AM dan AIIMAN untuk tujuan pembayaran Zakat Pelaburan.
 
7. Berapakah Nisab yang digunakan untuk pengiraan Zakat Pelaburan?
Nisab bagi Zakat Pelaburan adalah 85 gram emas mengikut harga pasaran emas yang ditentukan oleh LZS.
 
8. Berapakah Kadar Zakat Pelaburan?
Kadar Zakat Pelaburan adalah 2.5%.
 
9. Berapakah jumlah yang diwajibkan bagi tujuan pembayaran Zakat Pelaburan?
2.5% daripada jumlah akhir pelaburan yang cukup Nisab dan Haul pada 31 Oktober setiap tahun akan ditolak untuk tujuan pembayaran Zakat Pelaburan. Ini adalah berpandukan kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor (Majlis Agama Islam Selangor) di bawah Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Jilid 64 No.7, Perkara 4 berkaitan Kaedah Taksiran Zakat yang diwartakan pada 31 Mac 2011.
 
10. Bagaimanakah cara pengiraan Zakat Pelaburan?
Cara pengiraan Zakat Pelaburan yang telah dipersetujui di antara AIIMAN dan LZS adalah seperti berikut:

Zakat Pelaburan = Jumlah Akhir Keseluruhan Baki Akaun x Kadar Zakat (2.5%)
 
11. Apakah Kaedah Taksiran Zakat Pelaburan yang digunakan oleh AIIMAN?
Pengiraan Zakat Pelaburan adalah berdasarkan kepada jumlah keseluruhan baki akaun pelabur yang layak pada 31 Oktober setiap tahun. Pemilihan 31 Oktober adalah bagi memberi peluang kepada para pelabur untuk membuat pelarasan pada hujung tahun (“Disember”) bagi mengelakkan insiden akaun yang sama dizakatkan dua kali.
 
12. Apakah kriteria akaun pelanggan yang akan ditaksir untuk Zakat Pelaburan?
Kriteria akaun diterangkan seperti di dalam jadual di bawah:
 
Senario Akaun Pelaburan dibuka Sebelum Tahun Taksiran
Akaun Pelaburan dibuka Semasa Tahun Taksiran
Kelayakan untuk Ditaksir
1 Ya Tiada Semua akaun pelaburan perlu ditaksir
2 Ya Ya Semua akaun pelaburan perlu ditaksir
3 Tiada Ya Semua akaun pelaburan tidak perlu ditaksir
 

13. Adakah akaun berstatus “dibekukan” akan ditaksir untuk Zakat Pelaburan?

Tidak. Pelabur adalah bertanggungjawab sepenuhnya untuk melunaskan sendiri kewajipan Zakat Pelaburan mereka terhadap akaun yang “dibekukan”.
 
14. Bagaimanakah pelabur mengetahui proses pembayaran Zakat Pelaburan yang perlu dibayar bagi tahun taksiran semasa??
Pelabur akan menerima pesanan ringkas pertama (“SMS”) 14 hari sebelum 31 Oktober sebagai pemberitahuan berkenaan pelaksanaan Zakat Pelaburan.
 
Seterusnya, pelabur akan menerima SMS yang kedua, 14 hari selepas 31 Oktober memaklumkan pembayaran Zakat Pelaburan untuk tahun taksiran semasa telah dilakukan.
 
15. Bagaimana pelabur ingin menyemak status pembayaran Zakat Pelaburan di LZS?
Pelabur boleh menyemak status dan rekod bayaran zakat, memuatnaik dan menyimpan penyata potongan bayaran zakat di LZS dengan mendaftar secara percuma di https://ezo.zakatselangor.com.my/
 
16. Adakah pelabur boleh memilih untuk membuat pembayaran Zakat Pelaburan sendiri setelah AIIMAN membuat pengiraan zakat pelaburan yang wajib dibayar?
Tidak. Pembayaran zakat pelaburan akan diuruskan oleh AIIMAN sepenuhnya setelah borang pendaftaran pembayaran Zakat pelaburan diterima.
 
17. Adakah para pelabur yang membuat pembayaran zakat pelaburan layak mendapat rebat cukai?
Ya. Pelabur yang membuat pembayaran Zakat Pelaburan melalui AIIMAN akan mendapat rebat cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (“LHDN”).
 
18. Adakah perkhidmatan Pembayaran Zakat Pelaburan ini mempunyai tempoh tamat?
Tidak. Sekiranya pelabur ingin menamatkan perkhidmatan ini, pelabur perlu memberi notis bertulis kepada AIIMAN pada bila-bila masa sebelum 30 September memaklumkan penamatan perkhidmatan pembayaran Zakat Pelaburan tersebut.